Kerja Kursus Pengajian Am 2017

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN ENAM SHAH ALAM MEMBUAT PEMBELIAN ATAS TALIAN

1.0  ABSTRAK

Kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji faktor-faktor yang memperngaruhi pelajar-pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam (KTESA) membuat pembelian atas talian. Objektif kajian ini ialah adalah untuk mengenalpasti jenis barangan yang menjadi pilihan dalam kalangan pelajar di KTESA untuk dibeli secara dalam talian dan mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi para pelajar di KTESA untuk membeli barangan secara dalam talian. Kawasan Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24 dijadikan sebagai lokasi kajian kerana terdapat ramai pelajar KTESA yang membuat pembelian atas talian. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah temubual dan rujukan. Manakala kaedah soal selidik dan pemerhatian digunakan untuk mengenalpasti jenis barangan dan faktor yang menyebabkan pelajar-pelajar KTESA membuat pembelian atas talian. Secara kesimpulannya, pakaian adalah jenis barangan yang paling menjadi pilihan oleh pelajar KTESA dan antara faktor utamanya adalah kerana tidak perlu menunggu kedai dibuka. Hal ini demikian kerana, perniagaan atas talian dijalankan 24 jam.



 KANDUNGAN

Bilangan
Perkara
Muka Surat
1.       
Abstrak
1
2.       
Kandungan
2
3.       
Penghargaan
3
4.       
Pengenalan
5
5.       
Objektif
8
6.       
Lokasi Kajian
9
7.       
Kaedah Kajian
15
8.       
Dapatan Kajian dan Perbincangan
20
9.       
Rumusan
30
10.   
Bibliografi
31
11.   
Lampiran
32




2.0  PENGHARGAAN
Bismillahirahmannirahim…
           Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin kurnianya dapat juga saya menyempurnakan tugasan kerja kursus bagi subjek Pengajian Am ini. Sepanjang menjalankan kerja kursus ini, saya telah memperoleh pelbagai pengalaman sama ada pahit mahupun manis. Pengalaman yang amat berharga bagi saya yang bergelar seorang pelajar. Pengalaman yang saya perolehi sepanjang menjalankan tugas mungkin hanya datang sekali sahaja dalam hidup saya. Justeru ini, saya juga telah memperolehi pelbagai maklumat dan pengetahuan yang lebih terperinci lagi. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tertentu.
           Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pentadbir Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24 Shah Alam khasnya Puan Pengetua iaitu Puan Hajah Ruslina Binti Salleh dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Tingkatan Enam, Puan Viani Anak Aba kerana memberi sokongan dan kelulusan kepada saya untuk melaksanakan kerja kursus bagi Pengajian Am ini.
            Dalam usaha menjayakan kerja kursus ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Zuraimi Bin Ahmad selaku guru Pengajian Am saya. Beliau telah meluangkan banyak masa dalam memberi tunjuk ajar dan membimbing saya untuk menyempurnakan kerja kursus Pengajian Am ini. Seterusnya, saya juga berterima kasih kepada semua guru yang telah memberi banyak nasihat dan galakan kepada saya sepanjang penghasilan kerja kursus ini.

            Khas untuk ibu bapa saya yang tercinta, iaitu Encik Zolkeple Bin Mohd Said dan Puan Gina Finanza Binti Daud. Jutaan terima kasih dirakamkan kerana memberi sokongan moral dan kewangan kepada saya sepanjang proses untuk menyiapkan kerja kursus Pengajian Am ini.
            Penghargaan kepada rakan baik saya iaitu Siti Norhanna Binti Mohd Azan, Nur Atikah Binti Mad Nawil, Nurin Farisha Binti Mohd Supi dan semua rakan lain atas kesudian membantu, berkongsi buah fikiran dan memberi segala nasihat kepada saya. Tidak lupa juga, terima kasih kepada semua responden saya iaitu dalam kalangan pelajar Kolej Tingatan Enam Shah Alam, Sesyen 24 kerana sudi meluangkan masa untuk menjawab borang soal selidik dan temubual.
            Akhir kata, seikhlas tulus kata terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kerja kursus Pengajian Am ini. Segala bantuan yang telah anda hulurkan amatlah saya hargai kerana tanpa bantuan dan sokongan anda semua, tugasan ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sekian, terima kasih.


3.0  PENGENALAN

          Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, istilah penggunaan merupakan perihal ataupun perbuatan menggunakan sesuatu. Selain itu, pemakaian sesuatu barangan seperti  bahan makanan serta hasil perusahaan juga ditakrifkan sebagai istilah penggunaan sebagai pemakaian laman sesawang untuk membeli sesuatu barangan secara atas talian.
          Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, perniagaan bermaksud urusan berjual beli untuk mencari keuntungan. Selain itu, Perniagaan adalah pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan atau sebarang bentuk faedah (Abdullah Munsi Bin Abdul Rahim 1999). Seterusnya, Perniagaan boleh didefinisikan sebagai pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang atau alat pertukaran lain, bertujuan untuk mendapat keuntungan atau sebarang bentuk faedah (Zumilah Zainalaludin 1999).
          Perniagaan terbahagi kepada dua iaitu perniagaan  konvensional dan perniagaan internet. Konsep perniagaan Internet tidak jauh berbezanya dengan perniagaan konvensional. Peniaga masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Perbezaannya ialah bagi perniagaan konvensional, proses transaksi urusniaga tersebut dijalankan secara bersemuka. Pihak pembeli dan penjual perlu berjumpa dan berinteraksi. Manakala perniagaan internet  hanyalah proses transaksi urusniaga di mana urus niaga tersebut dijalankan secara dalam talian melalui internet. Pihak pembeli dan penjual tidak perlu bersemuka dan boleh berada beribu-ribu batu jauhnya.
          Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, konvensional bermaksud yang biasa dilakukan atau diamalkan, mengikut atau sebagaimana yang ditentukan oleh konvensi. Sebagai contoh, tidak menggunakan tenaga nuklear, kimia, biologi dan sebagainya. Manakala, menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, internet membawa maksud rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia.
          Perniagaan Internet atau nama lainnya perniagaan atas talian merupakan perniagaan yang dilakukan secara online yang mana ia menggunakan internet sebagai medium perantaraan antara penjual dan juga pembeli. Perniagaan internet juga adalah sama dengan perniagaan offline lain di mana ia tetap memerlukan tapak perniagaan, modal, barangan perniagaan dan juga promosi untuk barang yang diniagakan itu. Apa yang membezakan cumalah platform sahaja.
          Terlalu banyak faedah yang boleh didapati menerusi internet. Ia hidup dan tidak pernah tidur selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Perniagaan internet juga tidak membataskan perkara–perkara berikut iaitu budaya, bangsa, negara, sempadan, masa, dan juga jarak. Di internet, kaedah atau pendekatan pemasaran dan jualan juga adalah berbeza. Selain memerlukan kemahiran untuk mempromosikan barangan di internet, kita juga memerlukan beberapa tools sebagai sokongan untuk berjaya dengan lebih cepat.
          Segala-galanya boleh dijual di internet tidak kiralah sama ada produk yang ingin dijual mempunyai nilai atau tidak. Pasaran di internet adalah amat luas tanpa mengira sempadan geografi dan juga beroperasi selama 24 jam sehari. Inilah dunia perniagaan internet di mana transaksi jual beli yang berlaku kini bernilai berbilion dollar tanpa perlu si penjual atau pembeli berjumpa untuk mengenali antara satu sama lain. (Jurnal Sem 2017).
          Antara contoh medium perniagaan atas talian ialah E-Dagang. Definisi e-dagang adalah mengeksploitasi teknologi dan aplikasi untuk menghubungkan sistem perniagaan yang kritikal secara terus kepada pelanggan, pekerja dan pembekal melalui Intranet, Extranet dan WWW, tak kira saiz, lokasi dan jenis perniagaan. Antara syarat e-dagang memerlukan pengemaskinian maklumat mutakhir dalam proses pentadbiran dan perniagaan.
          Perdagangan elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi.  Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk  mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.
      
          Dengan E-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra syarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan anda mengkases Internet.  Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon. Penggunaan E-dagang dijangka akan melonjak naik dari tahun demi tahun sesuai dengan meningkatnya penerimaan IT di kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun di antara yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas di kalangan khalayak ramai ialah persepsi bahawa e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan.
          Rasionalnya, tajuk kajian ini ialah faktor pembelian barangan atas talian dalam kalangan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24. Saya telah memilih lokasi kajian di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam adalah kerana lokasinya berhampiran dengan kediaman saya. Lokasi kajian saya berada di Seksyen 24, Shah Alam manakala kediaman saya bertempat di Taman Pinggiran USJ, Subang Jaya. Hal ini demikian kerana, saya mempunyai masalah pengangkutan untuk membuat kajian di lokasi-lokasi yang berjauhan,


4.0  OBJEKTIF

Terdapat  dua objektif kajian dalam menjalankan kajian ini dan kajian yang dibuat adalah berlandaskan kepada objektif yang telah disusun.


2.      Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi para pelajar di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24, Shah Alam untuk membeli barangan secara dalam talian.



6.0 LOKASI KAJIAN


                                                     Peta Daerah Negeri Selangor
Gambar 1 : Peta Daerah Negeri Selangor
Sumber : Portal Selangor – Portal Kejayaan Negeri Selangor Darul Ehsan
Berdasarkan Gambar 1 di atas menunjukkan Negeri Selangor Darul Ehsan terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.

Terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa, Selangor dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri dari Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas.

Secara  umumnya Selangor diairi oleh empat lembangan sungai utama iaitu lembangan Sungai Langat dan lembangan Sungai Klang di bahagian selatan serta lembangan Sungai Bernam dan lembangan Sungai Selangor (lembangan terbesar di negeri ini) di bahagian utaranya. Sungai-sungai utama ini dilihat sebagai faktor utama kepada bermulanya petempatan awal masyarakat di sekitar kawasan ini.



                                                                   Peta Shah Alam

Gambar 2 : Peta Shah Alam
Sumber : Laman Web Rasmi Majlis Bandaraya Shah Alam

          Sebelum 1963, Shah Alam dikenali sebagai Sungai Renggam dan merupakan sebuah ladang kelapa sawit yang terletak di antara Petaling Jaya dan Bandar Diraja Klang serta dihubungkan melalui satu – satunya Lebuhraya pada ketika itu, Lebuhraya Persekutuan.
          Shah Alam dibuka pada tahun 1963 bertujuan untuk dijadikan pusat pentadbiran Selangor setelah Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Pada 7 Disember 1978 atas perkenan DYMM Sultan Selangor ke – 8, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al- Haj, Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor dengan keluasan 41.69 km persegi seperti yang ditunjukkan di dalam gambar 2. Semenjak itu Shah Alam terus mengalami beberapa kali proses perluasan kawasan dan yang terakhir adalah pada 1 Januari 1997. Melalui Pelan Warta 1190, Shah Alam diperluaskan kepada 290.3 km persegi.
        Kepesatan pembangunan Shah Alam dan kepentingannya yang semakin ketara telah membawa kepada kenaikan taraf dengan perisytiharannya sebagai sebuah bandaraya pada 10 Oktober 2000. Pengisytiharan ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor yang ke –13. Shah Alam yang ditadbirkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Shah Alam sejak 1978 secara automatiknya mendapat taraf Majlis Bandaraya Shah Alam. Kepadatan penduduk pula diramalkan sehingga 450,000 orang menjelang 2010 hasil dari penghijrahan rakyat seluruh negara yang mencari peluang pekerjaan selain dari pertambahan bilangan kelahiran.
          Shah Alam ialah ibu negeri bagi Negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Shah Alam, juga merupakan bandaraya yang hampir dengan bandaraya Kuala Lumpur, hanya dipisahkan oleh Petaling Jaya iaitu sekitar 27 kilometer jaraknya. Jumlah penduduknya dijangka meningkat menjadi 700 000 orang pada 2014 setelah siapnya beberapa projek perumahan dan sub-bandar di sekitar Shah Alam. Bunga rasminya ialah bunga Anggerik 'Renantanda Shah Alam' dan burung rasminya pula ialah burung undan. Secara rasmi Bandar raya ini digelar dengan gelaran 'Bandar Raya Anggerik' (Laman Web Rasmi Majlis Bandaraya Shah Alam)


                               Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam.
Gambar 3 : Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam
Sumber : Lapangan Kajian 2017
          Kolej Tingkatan Enam Shah Alam dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Seskyen 24, Shah Alam seperti yang ditunjukkan di dalam gambar 3. Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam merupakan sebuah sekolah harian di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti yang ditunjukkan dalam gambar 3 di atas. Terletak kawasan perumahan Seksyen 24, Shah Alam, sekolah ini mula dibuka pada 1 Disember 1993 dengan 41 orang tenaga pelajar. Pembinaannya adalah di bawah biayaan Bank Dunia berjumlah RM4 Juta di bahagikan kepada empat buah blok setinggi tiga tingkat setiap satunya. Blok A dinamakan Anggerik, Blok B dinamakan Bakawali, Blok C dinamakan Cempaka dan blok D dinamakan Dahlia. (Puan Hanita, SMK Seksyen 24 Shah Alam)
          Sekolah ini dilengkapi dengan 32 buah bilik darjah, sebuah Dewan Besar, sebuah Rumah Hijau, sebuah Bengkel Kemahiran Hidup, Bliki Seni, Bilik Sejarah, Bilik Geografi, Pusat Sumber yang disekalikan dengan Bilik Tayangan. Seterusnya Bilik Gerakan, Bilik Kaunseling, Bilik Lukisan Kejuruteraan dan Bengkel Teknologi Kejuruteraan. Di samping itu, disediakan juga kemudahan bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Kedai Buku, Bilik Pengawas, Koperasi Sekolah, Bilik Rawatan, Stor Sukan dan Surau.         
          Pada tahun pertama sekolah ini dibuka pada (1993 / 1994). Sekolah ini telah menampung murid-murid peralihan hingga tingkatan 2. Sekolah ini juga menempatkan pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah yang berhampiran kerana menumpang sementara bangunan sekolah mereka disiapkan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah.
          Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 ini telah melahirkan lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1995 dengan pencapaian 98%. Seramai 268 pelajar telah menduduki peperiksaan sulung sekolah ini. Manakala, pada tahun 1996, sejarah kembali terukir dengan kelahiran sulung Sijil Penilaian Malaysia (SPM) pada tahun 1996. Seramai 78 orang calon telah menduduki peperiksaan dengan kelulusan 64.98%.(Puan Hanita, SMK Seksyen 24 Shah Alam)
          Pada 2009, bilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam telah bertambah kepada 544 pelajar lelaki dan 506 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1050 orang. Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 juga menawarkan tempat pengajian buat pelajar tingkatan enam pada tahun 2015. Tingkatan enam wujud di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam kerana Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam ditutup. Oleh yang demikian, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam. (Puan Zuziana, SMK Seksyen 24 Shah Alam)

           

                                                    Kolej Tingkatan Enam Shah Alam
Gambar 4 : Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24, Shah Alam
Sumber : Lapangan Kajian 2017
          Berdasarkan gambar 4, beginilah keadaan Kolej Tingkatan Enam Shah Alam sekarang. Pada tahun 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam dengan rasminya telah bertukar menjadi Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Justeru itu, bagi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima, mereka diarahkan berpindah ke sekolah-sekolah lain yang berada di sekitar Shah Alam. Contoh sekolah menengah yang berdekatan ialah, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2), Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18 dan sebagainya.
          Pada tahun 2014, Pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SAAS) dan pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 disatukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam. Kemudian, setelah setahun di sekolah tersebut, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 diarahkan untuk berpindah ke kolej ini yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 pada tahun 2015.
          Pada tahun 2016, pertambahan pelajar tingkatan enam berlaku ekoran perpindahan dari pelajar Sekolah Menengah TTDI Jaya ke kolej ini yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24. Pada tahun 2017, pelajar tingkatan enam dari dua buah sekolah juga telah dipindahkan ke Kolej Tingkatan Enam Shah Alam ini. Dua buah sekolah yang berpindah ke kolej ini adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield. Setelah pelajar-pelajar tingkatan enam dari sekolah-sekolah yang berbeza ini disatukan di sekolah ini, sekolah ini telah dinaiktaraf menjadi Kolej Tingkatan Enam Shah Alam dan telah menjadi pusat tingkatan enam bagi daerah Shah Alam.

7.0  KAEDAH KAJIAN

METODOLOGI

Pendahuluan
          Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat tahun 2010, metodologi membawa maksud sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam suatu kegiatan atau disiplin. Maksud metodologi ialah kaedah, jalan, teknik, ragam, gaya, rentak, corak dan sistem. Metolodogi juga bermaksud ilmu tentang metode atau disiplin yang digunakan semasa melakukan sesuatu kajian tertentu untuk mencapai tujuan tertentu. Antara perkara penting yang dibincangkan dalam bahagian ini adalah reka bentuk kajian, sampel kajian, instrumen kajian, cara pengumpulan data dan cara menganalisis data.
          Oleh itu, dalam bahagian ini pengkaji akan membincangkan reka bentuk kajian, sampel kajian, instrumen kajian dan prosedur prosedur analisis data bagi menjawab persoalan-persoalan kajian yang telah dikemukakan. Selain itu, metodologi kajian juga boleh digunakan untuk memastikan objektif kajian dapat dicapai.

7.1  Reka Bentuk Kajian
          Reka bentuk kajian memberi gambaran tentang kerangka, perancangan atau strategi yang menentukan prosedur kajian. Aspek-aspek reka bentuk merangkumi pendekatan kajian, kaedah persampelan, cara pengumpulan data dan teknik memproses dan menganalisis data, dan mempersembahkan data. Kajian ini adalah untuk mengenalpasti barangan yang dibeli oleh pelajar-pelajar melalui perniagaan atas talian Kolej Tingkatan Enam Shah Alam dan faktor-faktor yang mempengaruhi pembelian atas talian oleh pelajar-pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam.

Instrumen Kajian
         Secara umumnya instrumen kajian ialah apa-apa alat, atau cara atau apa-apa kaedah untuk memperolehi dan mengumpul data kajian. Instrumen kajian merupakan satu alat yang digunakan oleh menyelidik ketika menjalankan sesuatu penyelidikan. Instrumen kajian digunakan sebagai asas bagi memperoleh data seperti mana yang dikehendaki oleh penyelidik untuk mencapai objektif kajian. Kaedah yang digunakan oleh pengkaji ialah kaedah soal selidik, kaedah pemerhatian dan kaedah temubual. Sebanyak 30 orang responden yang akan dipilih secara rawak yang terlibat dalam kajian ini. Instrumen yang digunakan untuk memperoleh data terbahagi dua iaitu kuantitatif dan kualititatif.
Jadual 1 : Kaedah Instrumen Kajian
Kaedah
Instrumen
Kuantitatif
Borang Soal Selidik
Kualitatif
Rujukan dan Pemerhatian

7.2.1 Pemerhatian
         Kaedah pemerhatian merupakan kaedah terawal dalam penyelidikan. Kaedah ini dijalankan bertujuan memahami mengetahui dan memahami situasi lapangan kajian dan memperoleh segala maklumat secara langsung. Pengkaji akan melihat sendiri faktor-faktor pembelian barangan secara dalam talian dan jenis aplikasi media sosial yang digunakan untuk membeli barangan secara dalam talian oleh pelajar-pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24. Gambar-gambar telah diambil dari tempat kajian semasa pemerhatian dibuat sebagai bukti dalam kajian ini.

7.2.2 Soal Selidik
          Pengkaji telah mengedarkan borang soal selidik kepada 30 orang responden secara rawak iaitu dalam kalangan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Tujuannya adalah untuk memudahkan kerja kajian pengkaji untuk mengkaji jawapan yang diberikan sama ada positif atau sebaliknya. Dalam borang soal selidik tersebut, terdapat tiga bahagian, iaitu bahagian A, bahagian B, dan bahagian C.
Bahagian A merupakan bahagian data demografi responden. Dalam bahagian ini, terdapat empat soalan yang diajukan. Soalan pertama yang diajukan adalah mengenai jantina pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam sama ada lelaki atau perempuan. Soalan keduanya pula mengenai umur pelajar kolej tersebut. Seterusnya, soalan mengenai bangsa pelajar kolej terbabit. Selepas itu, diikuti dengan soalan mengenai agama pelajar kolej tersebut
Sehubungan itu, bahagian B pula adalah mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam untuk membeli secara dalam talian. Dalam bahagian ini terdapat sembilan soalan yang diajukan. Soalan-soalan tersebut telah diskalakan kepada lima peringkat di mana 1 sangat setuju, 2 setuju, 3 tidak pasti, 4 tidak setuju dan 5 sangat tidak setuju dengan soalan yang diberikan. Soalan pertama mengenai penjimatan kos disebabkan harga barang yang lebih murah. Kedua mengenai kualiti barangan yang lebih bermutu tinggi. Seterusnya, yang ketiga ialah pilihan banyak yang boleh diperolehi dan diikuti soalan mengenai menjimatkan masa ketika aktiviti pembelian dibuat. Selain itu, soalan kelima adalah mengenai sistem penghantaran yang teratur dan diiringi dengan soalan yang keenam iaitu barang yang dibeli mempunyai jaminan. Soalan yang ketujuh pula mengenai tidak perlu layan kerenah jurujual serta diikuti soalan kelapan iaitu perbandingan barang dapat dilakukan dengan cepat dan mudah. Soalan yang terakhir sekali yang dikemukakan dalam bahagian ini pula ialah terdapat pelbagai jenama dari dalam dan luar negara yang ditawarkan semasa aktiviti pembelian secara dalam talian dibuat.
Bahagian yang terakhir sekali adalah bahagian C. Bahagian ini adalah menjurus kepada jenis aplikasi media sosial yang digunakan oleh pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam untuk membeli barangan secara dalam talian. Dalam bahagian ini terdapat beberapa jenis aplikasi media sosial yang dicadangkan kepada responden untuk dinilai dan disediakan tiga ruang kosong bagi responden yang pernah membeli barangan secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi selain daripada yang telah dicadangkan. Antara aplikasi media sosial yang dicadangkan ialah Instagram, Facebook, Wechat, Whatsapp, Telegram, Tumblr dan tiga ruangan kosong untuk cadangan selain daripada yang telah dicadangkan.

7.2.3 Temubual
          Pengkaji telah menemu bual dua orang pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Seorang daripada lelaki iaitu Hoh Chee Hou dan seorang lagi adalah pelajar perempuan iaitu Anis Mahirah mengenai faktor-faktor pembelian barangan secara dalam talian yang dibuat dan jenis aplikasi media sosial yang digunakan untuk membeli barangan secara dalam talian. Salah satu temu bual tersebut berjalan selama 10 minit manakala temu bual lagi berjalan selama 15 minit. Hasil dari temu bual tersebut, pengkaji dapat menjadikan catatan yang diperoleh sebagai panduan dalam menjalankan kerja kursus ini.

7.2.4 Rujukan
          Sebelum memulakan kajian, pengkaji telah membaca dan merujuk beberapa bahan rujukan terlebih dahulu. Antara bahan rujukan yang sesuai termasuklah buku rujukan Pengajian Am, majalah, surat khabar dan melayari internet. Data-data dan maklumat yang pengkaji kumpulkan iti sangat berguna dalam kajian ini. Sekiranya pengkaji mempunyai sebarang  masalah, pengkaji juga akan merujuk kepada guru subjek Pengajian Am dan berbincang terlebih dahulu.

7.3 Sampel Kajian
          Persampelan ialah  kumpulan manusia, institusi, tempat atau fenomena yang menjadi sumber informasi yang diperlukan oleh pengkaji. Pemilihan sampel dalam tinjauan adalah secara rawak daripada satu populasi yang dikenal pasti. Responden kajian terdiri daripada 30 orang pelajar. Mereka terdiri daripada 13 orang lelaki dan 17 orang perempuan dari pelajar di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24 akan diambil sebagai responden. Responden terbatas kepada pelajar yang berada di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24 dan mengisi borang soal selidik dengan lengkap pada hari kejadian dijalankan.
          Bagi teknik persampelan yang digunakan dalam kajian ini pula ialah menggunakan teknik persampelan rawak mudah dimana dengan menggunakan prosedur persampelan ini, setiap  pelajar di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, Seksyen 24 mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai responden. Sampel kajian terdiri daripada 30 orang pelajar dan 30 borang soal selidik akan diberikan kepada mereka secara rawak mudah untuk memperoleh data yang lebih tepat.

7.4 Cara Pengumpulan Data
          Data dan maklumat kajian ini dikumpul dengan cara seperti dokumentasi, borang soal selidik, temu bual dan pemerhatian.



7.4.1 Dokumentasi
          Kajian ini dimulakan dengan kajian terhadap bahan-bahan bertulis yang telah diterbitkan seperti buku dan internet bagi mendapatkan maklumat berkenaan, mengenal pasti jenis barangan yang menjadi pilihan dalam kalangan pelajar di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam untuk dibeli secara dalam talian dan faktor-faktor yang mendorong para pelajar di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam untuk dibeli secara dalam talian.

7.4.2 Pemerhatian
          Kaedah pemerhatian ini telah dijalankan pada pukul 8 pagi hingga 12:30 tengahari di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam.

7.4.3 Soal Selidik
          Borang soal selidik yang sesuai telah pengkaji buat untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat yang tepat dan betul berdasarkan objektif kajian. Borang telah diedarkan secara rawak kepada 30 orang responden di kawasan kajian. Borang soal selidik terdiri daripada tiga bahagian iaitu Bahagian A, Bahagian B dan Bahagian C. Bahagian A adalah tentang maklumat diri responden. Bahagian B pula mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong responden untuk membeli secara dalam talian. Manakala Bahagian C adalah soalan mengenai jenis aplikasi media sosial yang digunakan oleh responden untuk membeli barangan di atas talian. Borang soal selidik ini diedarkan kepada 30 orang responden yang dipilih secara rawak ketika pengkaji mengunjungi Kolej Tingkatan Enam Shah Alam.
          
7.5 Pemprosesan, Analisis dan Mempersembahkan Data
          Ini adalah peringkat terakhir dimana pengkaji menganalisis secara deskriptif untuk menganalisis data daripada soal selidik dan penilaian untuk menghasilkan laporan kajian. Data yang telah diperoleh daripada analisis ini menggunakan bilangan, peratusan, jadual, graf, dan carta.


8.0  DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN 
          Dalam dapatan kajian yang dijalankan, bahagian ini membincangkan Analisa data dan memaparkan hasil penemuan kajian yang telah dilakukan daripada borang soal selidik yang telah diisi oleh responden. Data yang telah dimasukkan diproses bagi mendapatkan statistic seperti nilai peratusan.
Bahagian A : Data Demografi Responden
1.      Jantina
          Seramai 30 orang responden terdiri daripada pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Huraian analisis latar belakang responden melibatkan aspek jantina, umur, bangsa dan agama yang dipersembahkan dalam bentuk jadual dan rajah.
Jantina
Nilai
Peratus
Lelaki
7
23%
Perempuan
23
77%
Jadual 1 : Jantina

(Sumber :  Kajian Lapangan 2017)
Rajah 1 : Jantina
(Sumber : Kajian Lapangan 2017)
          Dapatan hasil kajian menunjukkan daripada 30 orang responden, seramai 7 orang (23%) adalah terdiri daripada responden lelaki, manakala bakinya sebanyak 23 orang (77%) adalah responden perempuan. Terdapat perbezaan jurang yang besar dalam pemilihan jantina kerana borang soal selidik diedarkan secara rawak kepada pelajar di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Responden perempuan lebih ramai berbanding lelaki adalah kerana kebanyakkan pelajar KTESA mempunyai bilangan pelajar perempuan yang lebih ramai daripada pelajar lelaki.  
2.      Umur
Dalam melakukan kajian ini, dapatan hasil kajian menunjukkan kesemua 30 orang responden (100%) adalah terdiri daripada lingkungan umur 18 hingga 25 tahun. Hal ini demikian kerana, pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam memang terdiri daripada lingkungan umur 18 hingga 25 tahun.
3.      Bangsa
Bangsa
Nilai
Peratus
Melayu
25
83%
Cina
3
10%
India
2
7%
Jadual 2 : Bangsa
(Sumber : Kajian Lapangan 2017)
       Rajah 2 : Bangsa
        (Sumber : Lapangan Kajian 2017)
          Dapatan hasil kajian menunjukkan daripada 30 orang responden, seramai 25 orang (83%) adalah terdiri daripada responden berbangsa Melayu. Manakala, seramai 3 orang (10%) adalah terdiri daripada responden berbangsa Cina. Diikuti dengan 2 orang (7%) responden yang berbangsa India seperti yang ditunjukkan dalam jadual 2 dan rajah 2 di atas. Responden yang berbeza bangsa mempunyai pilihan dan faktor pembelian barang atas talian yang berbeza. Bangsa Melayu lebih ramai berbanding pelajar Cina dan India adalah kerana majoriti pelajar KTESA adalah Melayu, manakala pelajar Cina dan India ialah minoriti.
4.      Agama

Agama
Nilai
Peratus
Islam
25
62%
Buddha
1
8%
Hindu
2
15%
Lain-lain
2
15%
Jadual 3 : Agama
(Sumber : Lapangan Kajian 2017)

Rajah 3 : Agama
(Sumber : Lapangan Kajian 2017)
          Berdasarkan hasil kajian, seramai 30 orang responden yang disoal selidik, seramai 25 orang (62%) adalah terdiri daripada responden yang beragama Islam. Manakala responden yang beragama Buddha terdiri daripada 1 orang (8%) sahaja. Diikuti dengan responden yang beragama Hindu adalah 2 orang (15%) dan selebihnya adalah responden yang beragama lain-lain seperti yang ditunjukkan dalam jadual 3 dan rajah 3 di atas. Responden yang berbeza agama ini adalah kerana borang soal selidik yang diedarkan kepada pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam adalah secara rawak dan didapati agama Islam paling ramai adalah kerana bangsa Melayu juga paling ramai dalam kategori bangsa seperti Jadual 2 dan Rajah 2. Justeru itu, responden yang beragama Islam adalah paling ramai.

Bahagian B : Jenis Barang Yang Dibeli Melalui Perniagaan Atas Talian
          Seramai 30 orang responden terdiri daripada pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam. Bahagian B mengalisis jenis barang yang dibeli oleh pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam melalui perniagaan atas talian. Analisis dipersembahkan dalam bentuk jadual dan rajah.
Jenis Barang Yang Dibeli Melalui Perniagaan Atas Talian
Nilai
Peratus
Barang Elektronik
6
20%
Barang Kosmetik dan Produk Kesihatan
7
23%
Pakaian
13
44%
Bahan Bacaan
3
10%
Kelengkapan Rumah
1
3%
Jadual 4 : Jenis Barang
(Sumber : Dapatan Kajian 2017)
Rajah 4 : Jenis Barang
(Sumber : Dapatan Kajian 2017)



          Berdasarkan hasil kajian, seramai 30 orang responden yang disoal selidik. Pilihan pertama bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian ialah barang elektronik. Seramai 6 orang responden (20%) membeli barang elektronik melalui perniagaan atas talian. Pilihan kedua bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian ialah barang kosmetik dan produk kesihatan. Seramai 7 orang responden (23%) membeli barangan kosmetik dan produk kesihatan. Diikuti dengan pilihan ketiga iaitu pakaian. Seramai 13 orang responden (44%) membeli pakaian. Seterusnya, pilihan keempat bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian ialah bahan bacaan. Seramai 3 orang responden (10%) membeli bahan bacaan. Diikuti dengan pilihan kelima bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian ialah kelengkapan rumah. Seorang responden (3%) membeli kelengkapan rumah.
          Berdasarkan hasil kajian saya, yang menjadi pilihan majoriti responden bagi pembelian barang melalui perniagaan atas talian ialah pakaian iaitu seramai 13 orang responden (44%). Hal ini demikian kerana pakaian yang dijual di atas talian mempunyai banyak pilihan. Pilihan yang ditawarkan bukan sahaja dari segi warna, malahan rekaan pakaian dan juga saiz yang pelbagai. Selain itu, pembelian atas talian juga mempunyai pakaian yang terkini berbanding kedai-kedai biasa. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pembekal mengambil masa yang lama untuk mengagihkan pakaian terkini ke setiap kedai-kedai biasa. Selain itu, pembelian pakaian di atas talian lebih menjimatkan masa, wang, tenaga dan mudah kerana tidak perlu melayan kerenah jurujual pakaian.
          Pilihan kedua terbanyak bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian ialah barangan kosmetik dan produk kesihatan iaitu seramai 7 orang responden (23%). Barangan kosmetik dan produk kesihatan mendapat sambutan yang hangat selepas pakaian. Hal ini juga disokong kerana responden perempuan lebih ramai berbanding responden lelaki seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 dan Rajah 1. Kebanyakannya, responden perempuan yang membeli barangan kosmetik dan produk kesihatan ini. Selain itu, jualan barangan kosmetik dan produk kesihatan mempunyai strategi pemasaran yang sangat baik seperti melakukan tutorial, menunjukkan maklum balas pengguna yang telah memakai produk tersebut dan sering menawarkan harga yang berpatutan. Perkara telah ini menyumbang responden untuk membeli barang kosmetik dan produk kesihatan.
          Pilihan ketiga terbanyak bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian ialah barang elektronik iaitu seramai 6 orang responden (20%). Hal ini demikian kerana, strategi pemasaran barangan elektronik kurang baik berbangding barangan kosmetik dan produk kesihatan, Namun, strategi pemasaran barangan elektronik lebih baik berbanding bahan bacaan dan kelengkapan rumah. Antara barang elektronik yang menjadi pilihan responden ialah telefon bimbit. Pembelian barang elektronik seperti telefon bimbit dalam talian memudahkan responden untuk membuat keputusan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan kedai-kedai lain yang bukan menjalankan perniagaan atas talian kebiasaannya mendesak pengguna untuk membeli produk tersebut untuk mengejar komisyen sehingga membuat pengguna tidak selesa untuk membuat pilihan yang tepat. Oleh itu, pembelian barang elektronik melalui atas talian memberi banyak kebaikan seperti dapat mengetahui spek-spek atau model-model dengan lebih tenang dan teliti.
          Seterusnya, bagi jenis barang yang dibeli melalui perniagaan atas talian untuk bahan bacaan dan kelengkapan rumah, kedua-duanya mencatatkan pilhan yang minima iaitu bahan bacaan seramai 3 orang responden (10%) manakala kelengkapan rumah hanya seorang responden (3%). Tidak ramai responden membeli bahan bacaan melalui perniagaan atas talian kerana kebiasaanya pengguna yang lebih suka berbelanja bahan bacaan di kedai-kedai buku. Kelemahan apabila membeli bahan bacaan melalui atas talian ialah pengguna tidak dapat melihat synopsis bahan bacaan tersebut dan tidak dapat membelek-belek bahan bacaan itu terlebih dahulu untuk memperoleh info yang padat. Bagi kelengkapan rumah pula, hasil kajian mendapati pilihan ini adalah yang paling sedikit. Hal ini demikian kerana, kelengkapan rumah yang dijualkan di atas talian kebiasaanya tidak mempunyai jaminan jika berlaku sebarang kerosakan seperti mesin basuh, televisyen dan sebagainya.


         






Bahagian C : Mengkaji Faktor-faktor yang Mendorong Pelajar untuk Membeli Barang Atas Talian
          Pada bahagian ini responden telah diutarakan 11 soalan mengenai faktor-faktor yang mendorong pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam untuk membuat pembelian atas talian.
Bil
Penyataan
Sangat Tidak Setuju
Kurang Pasti
Sangat Setuju
1
Soalan 1
2
6.7%
15
50%
13
43.3%
2
Soalan 2
2
6.7%
19
63.3%
9
30%
3
Soalan 3
3
10%
11
36.7%
16
53.3%
4
Soalan 4
0
0%
11
36.7%
19
63.3%
5
Soalan 5
3
10%
19
63.3%
8
26.7%
6
Soalan 6
3
10%
18
60%
9
30%
7
Soalan 7
1
3.3%
16
53.3%
13
43.3%
8
Soalan 8
2
6.7%
15
50%
13
43.3%
9
Soalan 9
2
6.7%
18
60%
10
33.3%
10
Soalan 10
1
3.3%
6
20%
23
76.7%
11
Soalan 11
0
0%
8
26.7%
22
73.3%

Jadual 5 : Faktor-faktor yang mendorong pelajar untuk membeli barang atas talian
(Sumber : Lapangan Kajian 2017)





        Rajah 5 : Faktor-faktor yang mendorong pelajar untuk membeli barang atas talian
(Sumber : Lapangan Kajian 2017)
          Soalan 1 yang disoal kepada responden ialah mengenai kos pengangkutan yang dapat dijimatkan. Bagi soalan ini, 2 orang sangat tidak setuju bersamaan 6.7%, 15 orang kurang pasti bersamaan 50% dan 13 orang sangat setuju bersamaan 43.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan keputusan kurang pasti adalah yang paling ramai. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam banyak menggunakan kenderaan awam sebagai pengangkutan.
          Soalan 2 yang disoal kepada responden ialah mengenai penghantaran yang cekap. Bagi soalan ini, 2 responden sangat tidak setuju bersamaan 6.7%, 19 responden kurang pasti bersamaan 63.3% dan 9 responden sangat setuju bersamaan 30% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan keputusan kurang pasti adalah paling ramai. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam kurang pasti dengan penghantar yang cekap dari pembelian atas talian.
          Soalan 3 yang disoal kepada responden ialah mengenai barangan dalam talian lebih murah berbanding di kedai. Bagi soalan ini, 3 responden sangat setuju bersamaan 10%, 11 responden kurang pasti bersamaan 36.7% dan 16 responden sangat setuju bersamaan 53.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Hal ini demikian kerana, kebanyakkan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam sangat setuju bahawa barangan dalam talian lebih murah berbanding di kedai.
          Soalan 4 yang disoal kepada responden ialah mengenai perniagaan atas talian mempunyai banyak pilihan. Bagi soalan ini, tiada responden yang sangat tidak setuju dengan penyataan ini, 11 responden kurang pasti bersamaan 36.7% dan 19 responden sangat setuju dengan penyataan ini bersamaan 63.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam sangat setuju bahawa terdapat banyak pilihan barang dalam perniagaan atas talian berbanding pilihan barang di kedai-kedai.
          Soalan 5 yang disoal kepada responden ialah mengenai kualiti barang terjamin. Bagi soalan ini, 3 responden sangat tidak setuju bersamaan 10%, 19 responden kurang pasti bersamaan 63.3% dan 8 responden sangat setuju bersamaan 26.7% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Hal ini demikian kerana, kebanyakkan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam tidak begitu pasti dengan kualiti barang yang terjamin dari pembelian atas talian.
          Soalan 6 yang disoal kepada responden ialah terdapat banyak kedai dalam talian yang pakar dalam bidang tertentu. Bagi soalan ini, 3 responden sangat tidak setuju bersamaan 10%, 18 responden kurang pasti bersamaan 60% dan 9 responden sangat setuju bersamaan 30% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan peratusan kurang pasti adalah paling ramai. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam tidak begitu pasti sama ada kedai dalam talian adalah pakar dalam bidang tertentu.
          Soalan 7 yang disoal kepada responden ialah pembayaran pembelian dapat dilakukan dengan mudah. Bagi soalan ini, seorang responden sangat tidak setuju bersamaan 3.3%, 16 responden bersamaan 53.3% dan 13 responden bersamaan 43.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan peratusan kurang pasti adalah paling besar. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam tidak merasakan bahawa cara pembayaran atas talian adalah mudah.
          Soalan 8 yang disoal kepada responden ialah perbandingan barang dapat dilakukan dengan cepat dan mudah. Bagi soalan ini, 2 responden sangat tidak setuju bersamaan 6.7%, 15 responden tidak pasti bersamaan 50% dan 13 responden sangat setuju bersamaan 43.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan peratusan kurang pasti adalah paling tinggi. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam tidak pasti tentang perbandingan barang dapat dilakukan dengan cepat dan mudah.
          Soalan 9 yang disoal kepada responden ialah kesuntukan masa yang menyebabkan perbelanjaan dalam talian menjadi pilihan. Bagi soalan ini, 2 responden sangat tidak setuju bersamaan 6.7%, 18 responden kurang pasti bersamaan 60% dan 10 responden sangat setuju bersamaan 33.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan peratusan kurang pasti adalah paling tinggi. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam tidak mengalami kesuntukan masa.
          Soalan 10 yang disoal kepada responden ialah tidak perlu tunggu siang hari sehingga kedai dibuka. Bagi soalan ini, seorang responden sangat tidak setuju bersamaan 33.3%, 6 responden kurang pasti bersamaan 20% dan 23 responden sangat setuju bersamaan 76.7%. Kajian mencatatkan peratusan sangat setuju adalah paling tinggi. Hal ini demikian kerana kebanyakan pelajar Koleh Tingkatan Enam Shah Alam setuju bahawa tidak perlu menunggu kedai dibuka untuk membuat pembelian.
          Soalan 11 yang disoal kepada responden ialah tidak perlu melayan kerenah jurujual. Bagi soalan ini, tiada responden sangat tidak setuju, 8 responden tidak pasti bersamaan 26.7% dan 22 responden sangat setuju bersamaan 73.3% seperti jadual 5 dan rajah 5 di atas. Kajian mencatatkan peratusan sangat setuju adalah paling tinggi. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam tidak suka melayan kerenah jurujual di kedai.



9.0  RUMUSAN
          Kajian ini bertujuan untuk mengetahui jenis barang yang dibeli oleh pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam melalui perniagaan atas talian. Soal selidik telah digunakan sebagai instrument kajian ini. Skop kajian ini adalah meliputi persoalan mengenai faktor-faktor pembelian barang atas talian oleh pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam.
          Pengkaji telah menjalankan kajian keatas 30 orang responden berbeza jantina, bangsa dan agama. Data mentah yang telah diperoleh daripada kajian ini dianalisa oleh pengkaji sendiri. Analisa kajian ini dilakukan secara deskriptif dengan mengambil kira kekerapan dan peratusan.
          Kesimpulannya, pembelian barang atas talian memberi banyak kemudahan kepada pelajar Kolej Tingkatan Enam Shah Alam dalam urusan jual beli. Antara faedah perniagaan atas talian ialah urusniaga yang lebih mudah dan pantas iaitu hanya perlu menekan papan kekunci sahaja. Ini kerana, urusan jual beli yang dilakukan tidak melibatkan pertemuan penjual dan pembeli secara langsung. Barang yang dipesan pula tidak memerlukan tempoh masa lama untuk sampai kepada pembeli.
          Seterusnya, urusan pembelian boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana lazimnya perniagaan atas talian ini beroperasi tanpa had masa. Selain itu, mereka yang berurusniaga secara atas talian juga mampu menjimatkan banyak kos kerana perniagaan atas talian tidak memerlukan permis perniagaan yang besar dan kakitangan yang ramai. Justeru, peniaga dapat menjimatkan kos permis perniagaan dan kos gaji pekerja. Manakala bagi pembeli pula, mereka dapat menjimatkan kos petrol, masa, dan tenaga kerana tidak perlu keluar untuk membeli barangan yang dihajati.



10.0          BIBLIOGRAFI

Kamus dan Ensaiklopedia
1.      Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.
2.      Kamus Dwibahasa, 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Majalah dan Buku
1.      Ammar Zahar. “Empayar Perniagaan Internet” dlm. Majalah Perniagaan, hlm 191-196, 2012.
2.      D. Dooley. “Business Book” dlm Business Book, hlm 2-5, 30 Jun 2007




Comments

  1. Maaf boleh saya tanya, di kte shah alam ada asrama ke disediakan?

    ReplyDelete
  2. Minta izin untuk menggunakan ayat dan maklumat dalam ni ya

    ReplyDelete
  3. Izinkan saya untuk menjadikan kerja kursus ini sebagai panduan kerja kursus saya ya..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kerja Kursus Sejarah STPM 2017